Sunday, October 9, 2011

11 Golongan ahli Neraka

Firman Allah SWT dalam surah An-Naba' ayat 18,

" Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok. "

Adalah diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut di atas pernah ditanyakan oleh Saidina Muaz bin Jabal, katanya, "Ya Rasulullah, apa maksudnya ayat ini?" Maka Rasulullah SAW menangis sebelum menjawab soalan tersebut kerana inilah yang selalu dibimbangkan oleh baginda. Lalu baginda menjawab;

" Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang akan memasuki syurga. Adapun 11 golongan yang memasuki neraka adalah seperti berikut:-

1. Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan. Ini adalah kerana mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.

2. Mereka yang menyerupai babi. Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat lima waktu.

3. Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala. Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4. Mereka yang keluar darah dari mulutnya. Inilah balasan mereka yang berdusta.

5. Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.

6. Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu. Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7. Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut. Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.

8. Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas. Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.

9. Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api. Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.

10. Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit2 lain yang menjijikan. Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.

11. Mereka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga keperut, dari perut dan pehanya keluar kotoran. Ini adalah balasan mereka minum minuman keras.

Dan satu golongan yang masuk ke syurga ialah;

12. Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian Mustaqim pantas seperti kilat. Ini balasan orang yang beramal salih dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat. "

" Merinduimu Ya Rasulullah.. "

1. Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Baginda juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2. Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Rasullullah berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.

4. Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu.. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.

Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" 
(Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')

Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."
Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5. Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."

"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi SAW. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6. Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7. Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"
Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

8. Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12. Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

" Andainya kita sendirian di atas dunia ini. "

Andai kata hanya kita seorang sahaja yang tinggal di atas dunia ini,
Dan apabila kita berdoa meminta sesuatu dari Allah,
Pasti akan dikabulkan permintaan tersebut tanpa sebarang pengantara,
Kerana hanya kita seorang sahaja di atas dunia ini tanpa makhluk yang lain,
Pasti kita akan yakin dengan sebenar-benar keyakinan akan Kebesaran Allah,
Bahawa hanya Allah tempat bergantung segala sesuatu.

Tetapi telah diciptakan dunia ini dengan manusia yang pelbagai,
Di mana rezeki dan takdir setiap manusia saling berkaitan di antara satu sama lain,
Maka apabila kita berdoa meminta sesuatu dari Allah,
Kemudian dikabulkan permintaan tersebut melalui manusia yang lain sebagai penyebabnya,
Mengapa kita meragui bahawa rezeki dan pertolongan itu datangnya dari Allah?
Bahawa hanya Allah pemberi rezeki dan tempat bergantung setiap makhluknya?
Dan bukannya makhluk yang memberi rezeki ke atas makhluk yang lain?

Yakinlah,

Hanya Allah sahaja pemberi rezeki dan tempat bergantung bagi setiap makhluknya,
Dan bukan pada makhluknya tempat bergantungnya sesuatu.

" Bukankah Allah yang mencukupi hamba-Nya? Mereka menakut-nakutimu dengan sembahan yang selain Dia. Barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah maka tidak ada seorang pun dapat memberi petunjuk kepadanya. "
- Surah Az-Zumar, ayat 36.

Saturday, October 8, 2011

Kucing, kebaikan, dan kejahatan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sementara menunggu masuk waktu Isyak saya ingin menambah sedikit mengenai artikel yang lepas Perbandingan jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka, di mana dalam artikel tersebut telah diterangkan secara mudah dan kontemporari berkenaan dengan beza di antara jalan untuk menuju ke Syurga dan jalan yang boleh menjerumuskan kita kepada Neraka. Moga kita semua dijauhkan dari azab seksa Allah SWT serta  api Neraka. 

Allah SWT telah membentangkan dua jalan di hadapan kita. Dia juga telah mengurniakan kepada kita keupayaan untuk membezakan di antara kedua-duanya. Dengan keupayaan tersebut kita dapat mengetahui yang manakah baik dan yang manakah buruk. Dalam perkara tersebut, orang alim atau jahil, besar atau kecil sama sahaja. Setiap mereka akan merasa tenang apabila melakukan kebaikan dan merasa serba salah apabila melakukan kejahatan. 

Malah keupayaan tersebut terdapat juga pada haiwan. Contohnya kucing, apabila kita melemparkan ke arahnya seekor ikan dia akan memakannya di hadapan kita dalam keadaan lambat-lambat dan tenang. Tetapi apabila dia mencuri ikan tersebut, dia akan membawanya jauh-jauh dan memakannya dengan lahap, matanya pula sentiasa menjeling-jeling ke arah kita kerana takut kita datang dan meampas makanan tersebut daripadanya. Tidakkah ini bermakna bahawa dia mengetahui bahawa makanannya dalam keadaan pertama menjadi haknya, dan dalam keadaan kedua merupakan perbuatannya yang salah?

Tidakkah hal tersebut menunjukkan kucing juga dapat membezakan di antara hak dan batil, halal dan haram?

Inilah makna firman Allah SWT yang berbunyi, " Dan kami tunjukkan kepadanya dua jalan."

Allah SWT mengadakan para penyeru yang menyeru dan menunjukkan manusia ke jalan Syurga. Mereka adalah para anbiya'. Begitu juga di jalan Neraka, terdapat para penyeru yang menyeru dan mendorong ke arahnya. Mereka adalah syaitan-syaitan.

Tanyalah di dalam hati kita, siapakah yang menjadi pemimpin kita di dalam perbuatan seharian yang kita jalankan? Apakah kita mengikuti seruan syaitan dan pengikutnya yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia ke jalan Neraka, ataupun dakwah para anbiya' dan para ulama' yang merupakan pewaris kepada nabi-nabi yang memimpin kita untuk menuju ke jalan Syurga.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 118-121 menjelaskan lagi akan janji syaitan kepada Allah SWT untuk menyesatkan anak-anak Adam,

" Allah melaknatnya dan (syaitan) itu mengatakan, " Pasti akan mengambil bahagian-bahagian tertentu dari hamba-hambamu* dan pasti akan kusesatkan mereka, dan akan ku suruh mereka memotong telinga-telinga binatang ternak, (lalu mereka benar-benar memotongnya),** 

dan akan aku suruh mereka mengubah ciptaan Allah, (lalu mereka benar-benar mengubahnya). " Barang siapa menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sungguh, dia menderita kerugian yang nyata. (Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu menjanjikan tipuan belaka kepada mereka. 

Mereka (yang tertipu) itu tempatnya di Neraka Jahanam dan mereka tidak akan mendapat tempat (lain untuk) lari daripadanya. "

*Pada setiap manusia ada potensi untuk berbuat baik, dan ada potensi untuk berbuat jahat. Syaitan akan menggunakan potensi untuk berbuat jahat dalam mencelakakan manusia.
**Menurut kepercayaan Arab Jahiliah, haiwan-haiwan yang akan dipersembahkan kepada patung berhala, harus dipotong telinganya terlebih dahulu dan binatang seperti ini tidak boleh dikenderai lagi, dan tidak boleh digunakan lagi.

Semoga penulisan ringkas ini dapat dijadikan sebagai peringatan terutamanya kepada diri saya sendiri yang menulis, serta saudara musliminku sekalian agar sama-sama kita amalkan dan menilai kembali apakah kita masih berada di jalan Allah SWT yang menjanjikan kemenangan dan kenikmatan yang berkekalan bagi hamba-hambanya yang sabar. 

Monday, October 3, 2011

Fizikal Rasulullah SAW (Hadis 2)

Anas bin Malik berkata:

" Rasulullah adalah seorang yang mempunyai tubuh yang sedang, tidak tinggi dan tidak rendah, bentuk tubuhnya bagus. Rambutnya tidak kerinting dan tidak lurus. Warna kulit beliau coklat. Jika berjalan, pergerakannya condong* ke hadapan. "

Hadis ini bertaraf sahih. Dilaporkan oleh Humaid bin Mas'adah al-Basri, yang mendengar daripada Abdul Wahab ats-Tsaqafi dan bersumber daripada Anas bin Malik.

*Menandakan sifat jalan Rasulullah yang cepat dan pijakan kakinya kuat.