Friday, September 30, 2011

Bolehkah alam ini terjadi dengan sendirinya?

Kita sering mendengar mengenai alam ideal yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh barat seperti Plato, Kant, August Comte, Pastor, Newton, Pascal, Malbranch, Harvy, Golle, dan Hocasle. Namun adakah mungkin alam ini terjadi dengan sendirinya tanpa sebarang pengaturan yang merancang setiap pergerakan orbit, planet, dan berjuta bintang-bintang yang bergerak mengikut laluan yang ditetapkan?

Cuba kita fikirkan, sekiranya kita meletakkan 4 biji guli putih dan satu biji guli merah di dalam satu bekas dan kita cabut salah satu daripadanya, kemungkinan guli merah yang terpilih ialah 1:5. Kalau kita meletakkan 9 biji guli putih dan 1 biji guli merah, kemungkinan guli merah yang terpilih akan menjadi kepada 1:10. 

Sekiranya infiniti guli putih dan satu biji guli merah diletakkan bersama, maka kemungkinan guli merah yang akan terpilih dalam setiap cabutan akan menjadi 1:infiniti. Tidak akan ada seorang pun orang yang berakal akan mengatakan bahawa guli merah mesti akan tercabut keluar pada cabutan pertama, kedua, atau keseratus.

Namun cakerawala yang infiniti ini mempunyai satu keadaan sahaja, beredar secara sistematik dan tidak berlanggar. Bagaimana kita boleh mengatakan bahawa keadaan ini berlaku secara sendiri atau setiap keputusan yang memerlukan pengiraan yang kompleks dalam peredaran objek-objek di cakerawala ini dicabut secara kebetulan tanpa ada yang mengaturkannya yang bersifat Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui?

" Dialah yang menjadikan matahari yang bersinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menetapkan tempat-tempat orbitnya, agar kamu mengetahui bilangan tahun, dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan benar. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran Nya) kepada orang-orang yang mengetahui. "
-Surah Yunus, ayat 5.

Maha Suci Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam.

Wednesday, September 28, 2011

"Tangan dan kaki menjadi saksi."

Bagaimanakah iman kita pada hari ini? Adakah kita masih membenarkan di dalam hati kita setiap kali mengucapkan kalimah syahadah di dalam solat bahawa, "Tiada tuhan yang disembah melainkankan Allah, dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah." 

Segala puji bagi Allah sekiranya hati kita masih lagi tersentuh, dan meyakini dengan sebenar-benar keyakinan. Maka dengan itu tentunya kita mengetahui dengan yakin bahawa walaupun kita bersendirian dengan menutup semua pintu dan tabir sehingga tidak dapat dilihat oleh orang lain, kita tetap tidak akan dapat bersembunyi dari Allah SWT kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui apa-apa yang tidak kita ketahui. Allah SWT sentiasa bersama dengan kita, mendengar dan melihat.

Sekiranya kita melakukan kesalahan dan tidak mengakui, maka pada hari pembalasan kelak tangan yang melakukan dosa, kaki yang membawanya kepada dosa, kulit yang meliputi tubuhnya akan mejadi saksi. 

Yakinkah kamu suatu masa nanti akan tibanya hari pembalasan? Apakah kamu masih mempersoalkan bagaimanakah tangan dan kaki akan menjadi saksi, apakah pada hari tersebut ia akan mempunyai lidah untuk bercakap?

Allah SWT itu Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu kejadian yang berlaku. Pernahkah kita memikirkan bahawa Tuhan yang mengajarkan manusia bagaimana mencipta piring hitam, kaset dan tv yang mengeluarkan suara di dunia tentunya turut mempunyai kuasa yang lebih besar lagi untuk menjadikan tangan dan kaki bercakap pada hari akhirat?

 "Sesungguhnya Tuhanku engkaulah yang memiliki hari pembalasan, engkaulah yang kami sembah dan pada engkau kami memohon pertolongan.. Amin."