Sunday, October 2, 2011

Perbandingan jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi memberikan saya kekuatan untuk menulis dan berkongsi ilmu dengan pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Semoga usaha kecil ini akan menjadi satu amalan yang baik di sisi Allah SWT untuk dijadikan sebagai bekalan akhirat yang berterusan selagi saya berkeupayaan untuk menulis di sini.

Jauh di dalam hati setiap muslim, pastinya akan mengimpikan Syurga sebagai persinggahan terakhir yang abadi dan kekal di dalamnya. Namun sebagai manusia biasa kadang-kadang kita terleka dengan keseronokan duniawi sehingga melupakan matlamat kita yang sebenarnya sebagai seorang muslim.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang berbunyi, 

" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. "

Pasti ada yang akan bertanya bagaimanakah perbandingan antara jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka itu?

Andaikan kita bermusafir seorang diri, dan kita berhadapan dengan dua buah jalan; satu jalan yang sukar mendaki bukit, dan satu lagi jalan yang mudah dan menuruni dengan tanah yang rata. Jalan pertama terdapat kesukaran, bengkang-bengkok, batu-batu yang bertaburan, duri-duri dan lubang-lubang, sukar untuk didaki dan dilalui. Tetapi di hadapannya terdapat papan tanda yang tertulis padanya: " Jalan yang tinggi dan sukar dilalui ini adalah jalan yang betul untuk menuju ke pusat bandar dan tempat tujuan. "

Jalan yang kedua pula rata, dibayangi oleh pohon-pohon yang dipenuhi dengan bunga-bunga dan buah-buahan, di kiri dan kanan terdapat kedai-kedai minuman dan tempat-tempat hiburan yang menarik hati dan menyenangkan mata dan telinga. Tetapi di hadapannya terdapat papan tanda yang tertulis padanya: " Jalan ini adalah berbahaya dan menghancurkan, di penghujung jalan ini pasti akan menyebabkan kematian dan kemusnahan. "

Jalan manakah yang akan kita pilih?

Tidak syak lagi, nafsu akan cenderung kepada yang senang dan seronok bukannya yang sukar dan menyusahkan. Nafsu lebih sukakan kebebasan dan bencikan kawalan dan belenggu. Ini adalah fitrah yang telah dijadikan Allah SWT kepadanya. Jika manusia dibiarkan mengikuti hawa nafsunya, sudah tentu dia akan melalui jalan yang kedua. Tetapi apabila akal masuk campur dan mepertimbangkan di antara keseronokan yang sebentar yang diikuti oleh kesakitan yang berpanjangan, dengan kesusahan yang sementara tetapi selepasnya keseronokan dan kenikmatan yang berkekalan, sudah tentu dia akan mengutamakan jalan yang pertama.

Inilah pebandingan di antara jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka.

Jalan ke Neraka, terdapat padanya semua perkara yang lazat dan menyeronokkan, dan hawa nafsu cenderung dan tertarik padanya. Padanya kecantikan yang mempersonakan boleh dilihat, kelazatan nafsu syahwat boleh dikecapi, harta yang disukai boleh dikaut menggunakan semua cara. Padanya boleh lepas bebas tanpa kawalan sedangkan hawa nafsu sukakan kebebasan dan membenci kawalan.

Jalan ke Syurga pula dipenuhi dengan cabaran dan kesukaran. Padanya terdapat kawalan dan batasan, percanggahan dengan hawa nafsu, tetapi balasan kesusahan yang sebentar pada jalan ini ialah kenikmatan yang berkekalan di Akhirat. Balasan kenikmatan yang sementara pada jalan Neraka pula ialah kesakitan dan azab seksa yang berpanjangan di Akhirat. Perumpamaannya ialah seperti seorang murid pada malam perperiksaan, dia merasa tersiksa kerana tidak dapat bersantai dan bersama keluarganya yang seronok menonton tv sedang dia bersendirian dengan buku-bukunya. Namun balasannya dia akan mendapat nikmat kejayaan selepas kesusahan tersebut.

Semoga Allah SWT akan memberikan kita petunjuk jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Allah SWT berikan nikmat ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang dimurkai, dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.. Amin.

Bacaan surah An-Nur yang menggetarkan hati (Syaikh Salman Al-Utaybi)


Bacaan surah An-Nur ayat 35 yang sangat indah dan menggetarkan hati. Segala puji bagi Allah SWT yang berkuasa di atas apa yang dikenhendaki Nya. Semoga kita semua tergolong dikalangan orang-orang yang diberikan petunjuk dan hidayah dari Nya.. Amin.

Terjemahan dari ayat 35 surah An-Nur,

" Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Nya, adalah seperti lubang yang tidak tembus* yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkati, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat**, yang minyaknya (sahaja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahaya Nya bagi orang yang dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. "

*"Lubang yang tidak tembus" (misykat) ialah suatu lubang di dinding rumah yang tidak tembus sampai ke sebelahnya, biasanya digunakan untuk tempat lampu atau barang-barang lain.
**Pohon zaitun itu tumbuh di puncak bukit, ia mendapat sinar matahari yang baik pada waktu matahari terbit mahupun ketika akan terbenam, sehingga buahnya subur dan menghasilkan minyak yang baik.

Saturday, October 1, 2011

Ustaz Azhar di UIA: 'Tangan jahat' ganggu program

Sumber asal dipetik dari Harakahdaily:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/press-unedited/5716-ustaz-azhar-di-uia-tangan-jahat-ganggu-program



Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran kepada Allah atas rezekiNya yang melimpah-limpah untuk hambaNya. Malam Jumaat bertarikh 30 September menjadi sejarah bagi mahasiswa UIAM apabila kehadiran lebih kurang 4000 ke majlis kuliah Ustaz Azhar Idrus mendapat sambutan yang hangat. Fenomena Ustaz Azhar Idrus telah menarik Persatuan Mahasiswa Terengganu untuk merisik beliau sejak bulan Februari yang lepas lagi.

Dengan kerjasama kelab yang giat dalam aktiviti dakwah, Ma'ruf Club, program ini diluluskan oleh pihak pentadbiran UIAM pada awal semester ini. Masjid SHAS UIAM bakal menjadi sasaran mahasiswa bahkan seluruh masyarakat dan peminat Ustaz Azhar Idrus daripada seluruh negara. Promosi digiatkan di masjid-masjid sekitar Gombak menghebahkan kedatangan seorang ulama terkenal ke Masjid UIAM.


Sehari sebelum program, pihak Ma'ruf Club dikejutkan dengan penarikan balik kelulusan tempat program iaitu Masjid SHAS yang boleh memuatkan 6,000 orang. Dalam masa berbaki, pihak pentadbiran UIAM cuba membantu dan hanya meluluskan tempat di Experimental Hall yang mampu memuatkan seramai 300 orang. Berita tersebar dengan cepat di alam maya Facebook menyebabkan mahasiswa mula tidak berpuas hati.


Bagi kami Pro-Mahasiswa (WUFI), perkara sebegini seolah-olah telah menjatuhkan institusi masjid sendiri apabila menyekat seorang pendakwah profesional untuk berada di masjid menyampaikan kuliahnya. Namun, mahasiswa perlu berhati-hati dalam menghukum dan meletakkan pendirian.

Beberapa jam sebelum program, dikhabarkan pimpinan Ma'ruf Club melalui Presiden, saudara Mohd Eikhwan Ali dengan kerjasama Exco MPP, saudara Fitry Hussin telah cuba berusaha untuk berjumpa dengan Puan Rektor bagi memohon rayuan supaya dibenarkan berkuliah di masjid. Namun, Puan Rektor tiada di pejabat.

UIAM tidak bersalah. Pentadbiran UIAM tidak bersalah. Pihak masjid juga tidak bersalah. Mereka ditekan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kami mendapat maklumat daripada urusetia program yang berjumpa dengan Direktor Masjid, bahawa beliau telah mendapat panggilan telefon daripada 'kuasa' lain supaya tidak membenarkan program Ma'ruf Club ini dijalankan di masjid. Penangkapan akan dibuat oleh 'SB' jika program tersebut diteruskan juga di masjid.

Justeru, pendirian kami Pro-Mahasiswa (WUFI) berkenaan dengan peristiwa ini adalah seperti berikut:

1. Mahasiswa jangan cepat menghukum khususnya terhadap pihak Rektor UIAM dan Direktor Masjid SHAS kerana mereka telah ditekan oleh 'tangan jahat', kami mendoakan agar pihak UIAM diberikan pertolongan untuk berhadapan dengan mereka.

2. Campur tangan politik 'tangan jahat' telah merencatkan Insitusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya di universiti awam sebagai pusat intelektual, perbuatan ini telah memakan diri mereka sendiri

3. Mereka juga perlu waspada kerana mengkhianati ulama adalah mengkhianati pewaris Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya) selaras dengan sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya), "Ulama adalah pewaris Anbiya"

4. Kerajaan 'tangan jahat' ini mesti faham, mereka boleh menyekat masjid, mereka boleh mengganggu program, mereka juga boleh menangkap sesiapa sahaja tetapi mereka tidak boleh menghalang idealism anak muda yang lebih intelek

5. Mahasiswa bersedia menghadapi PRU-13

Justeru, saya mewakili Pro-Mahasiswa (WUFI) mengajak seluruh rakan mahasiswa untuk bersatu dalam isu ini menyahut seruan Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "Bertolong-tolonglah dalam perkara kebaikan dan Taqwa". Kami menyokong penuh usaha pihak Ma'ruf Club yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada One Heart Creative Solution yang sudi menaja program Kuliah Ustaz Azhar Idrus.

"We Unite For Islam"

Muhammad Hafizuddin MN
Pengerusi Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

Fizikal Rasulullah SAW (Hadis 1)

Anas bin Malik berkata:

" Rasulullah bukanlah orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan tidak juga terlalu lurus. Beliau diutus oleh Allah menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun. Beliau menetap di Mekah (sebagai Rasul) selama sepuluh tahun* dan di Madinah juga selama sepuluh tahun. Beliau diwafatkan oleh Allah dalam usia enam puluh tahun**, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan janggutnya. "

Hadis ini bertaraf sahih. Dilaporkan oleh Abu Raja Qutaibah bin Sa'id, daripada Malik bin Anas, daripada Rabi'ah bin Abu 'Abdurrahman yang bersumber daripada Anas bin Malik.

*Pada hakikatnya, Rasulullah menetap di Mekah selama 13 tahun. Maksud 10 pada ayat ini adalah dikurangkan tiga tahun, iaitu tempoh masa wahyu tidak diturunkan buat sementara waktu.
**Penyampai laporan ini menggenapkan usia Raslullah. Kebanyakan laporan mengatakan beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun.

Friday, September 30, 2011

Bolehkah alam ini terjadi dengan sendirinya?

Kita sering mendengar mengenai alam ideal yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh barat seperti Plato, Kant, August Comte, Pastor, Newton, Pascal, Malbranch, Harvy, Golle, dan Hocasle. Namun adakah mungkin alam ini terjadi dengan sendirinya tanpa sebarang pengaturan yang merancang setiap pergerakan orbit, planet, dan berjuta bintang-bintang yang bergerak mengikut laluan yang ditetapkan?

Cuba kita fikirkan, sekiranya kita meletakkan 4 biji guli putih dan satu biji guli merah di dalam satu bekas dan kita cabut salah satu daripadanya, kemungkinan guli merah yang terpilih ialah 1:5. Kalau kita meletakkan 9 biji guli putih dan 1 biji guli merah, kemungkinan guli merah yang terpilih akan menjadi kepada 1:10. 

Sekiranya infiniti guli putih dan satu biji guli merah diletakkan bersama, maka kemungkinan guli merah yang akan terpilih dalam setiap cabutan akan menjadi 1:infiniti. Tidak akan ada seorang pun orang yang berakal akan mengatakan bahawa guli merah mesti akan tercabut keluar pada cabutan pertama, kedua, atau keseratus.

Namun cakerawala yang infiniti ini mempunyai satu keadaan sahaja, beredar secara sistematik dan tidak berlanggar. Bagaimana kita boleh mengatakan bahawa keadaan ini berlaku secara sendiri atau setiap keputusan yang memerlukan pengiraan yang kompleks dalam peredaran objek-objek di cakerawala ini dicabut secara kebetulan tanpa ada yang mengaturkannya yang bersifat Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui?

" Dialah yang menjadikan matahari yang bersinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menetapkan tempat-tempat orbitnya, agar kamu mengetahui bilangan tahun, dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan benar. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran Nya) kepada orang-orang yang mengetahui. "
-Surah Yunus, ayat 5.

Maha Suci Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam.