Saturday, October 8, 2011

Kucing, kebaikan, dan kejahatan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sementara menunggu masuk waktu Isyak saya ingin menambah sedikit mengenai artikel yang lepas Perbandingan jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka, di mana dalam artikel tersebut telah diterangkan secara mudah dan kontemporari berkenaan dengan beza di antara jalan untuk menuju ke Syurga dan jalan yang boleh menjerumuskan kita kepada Neraka. Moga kita semua dijauhkan dari azab seksa Allah SWT serta  api Neraka. 

Allah SWT telah membentangkan dua jalan di hadapan kita. Dia juga telah mengurniakan kepada kita keupayaan untuk membezakan di antara kedua-duanya. Dengan keupayaan tersebut kita dapat mengetahui yang manakah baik dan yang manakah buruk. Dalam perkara tersebut, orang alim atau jahil, besar atau kecil sama sahaja. Setiap mereka akan merasa tenang apabila melakukan kebaikan dan merasa serba salah apabila melakukan kejahatan. 

Malah keupayaan tersebut terdapat juga pada haiwan. Contohnya kucing, apabila kita melemparkan ke arahnya seekor ikan dia akan memakannya di hadapan kita dalam keadaan lambat-lambat dan tenang. Tetapi apabila dia mencuri ikan tersebut, dia akan membawanya jauh-jauh dan memakannya dengan lahap, matanya pula sentiasa menjeling-jeling ke arah kita kerana takut kita datang dan meampas makanan tersebut daripadanya. Tidakkah ini bermakna bahawa dia mengetahui bahawa makanannya dalam keadaan pertama menjadi haknya, dan dalam keadaan kedua merupakan perbuatannya yang salah?

Tidakkah hal tersebut menunjukkan kucing juga dapat membezakan di antara hak dan batil, halal dan haram?

Inilah makna firman Allah SWT yang berbunyi, " Dan kami tunjukkan kepadanya dua jalan."

Allah SWT mengadakan para penyeru yang menyeru dan menunjukkan manusia ke jalan Syurga. Mereka adalah para anbiya'. Begitu juga di jalan Neraka, terdapat para penyeru yang menyeru dan mendorong ke arahnya. Mereka adalah syaitan-syaitan.

Tanyalah di dalam hati kita, siapakah yang menjadi pemimpin kita di dalam perbuatan seharian yang kita jalankan? Apakah kita mengikuti seruan syaitan dan pengikutnya yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia ke jalan Neraka, ataupun dakwah para anbiya' dan para ulama' yang merupakan pewaris kepada nabi-nabi yang memimpin kita untuk menuju ke jalan Syurga.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 118-121 menjelaskan lagi akan janji syaitan kepada Allah SWT untuk menyesatkan anak-anak Adam,

" Allah melaknatnya dan (syaitan) itu mengatakan, " Pasti akan mengambil bahagian-bahagian tertentu dari hamba-hambamu* dan pasti akan kusesatkan mereka, dan akan ku suruh mereka memotong telinga-telinga binatang ternak, (lalu mereka benar-benar memotongnya),** 

dan akan aku suruh mereka mengubah ciptaan Allah, (lalu mereka benar-benar mengubahnya). " Barang siapa menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sungguh, dia menderita kerugian yang nyata. (Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu menjanjikan tipuan belaka kepada mereka. 

Mereka (yang tertipu) itu tempatnya di Neraka Jahanam dan mereka tidak akan mendapat tempat (lain untuk) lari daripadanya. "

*Pada setiap manusia ada potensi untuk berbuat baik, dan ada potensi untuk berbuat jahat. Syaitan akan menggunakan potensi untuk berbuat jahat dalam mencelakakan manusia.
**Menurut kepercayaan Arab Jahiliah, haiwan-haiwan yang akan dipersembahkan kepada patung berhala, harus dipotong telinganya terlebih dahulu dan binatang seperti ini tidak boleh dikenderai lagi, dan tidak boleh digunakan lagi.

Semoga penulisan ringkas ini dapat dijadikan sebagai peringatan terutamanya kepada diri saya sendiri yang menulis, serta saudara musliminku sekalian agar sama-sama kita amalkan dan menilai kembali apakah kita masih berada di jalan Allah SWT yang menjanjikan kemenangan dan kenikmatan yang berkekalan bagi hamba-hambanya yang sabar. 

2 comments:

  1. nice entry..thanx untuk ingatan ini...

    ReplyDelete
  2. sama-sama cik nurul izzah :)

    Saya menulis pn dengan tujuan untuk mengingatkan diri saya sendiri.. kata org bila kita belajar kemudian menyampaikan kepada org lain ilmu itu akan lebih mudah utk kita faham.. betul x? Wallahualam.. :)

    ReplyDelete