Sunday, October 2, 2011

Perbandingan jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi memberikan saya kekuatan untuk menulis dan berkongsi ilmu dengan pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Semoga usaha kecil ini akan menjadi satu amalan yang baik di sisi Allah SWT untuk dijadikan sebagai bekalan akhirat yang berterusan selagi saya berkeupayaan untuk menulis di sini.

Jauh di dalam hati setiap muslim, pastinya akan mengimpikan Syurga sebagai persinggahan terakhir yang abadi dan kekal di dalamnya. Namun sebagai manusia biasa kadang-kadang kita terleka dengan keseronokan duniawi sehingga melupakan matlamat kita yang sebenarnya sebagai seorang muslim.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran, ayat 185 yang berbunyi, 

" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. "

Pasti ada yang akan bertanya bagaimanakah perbandingan antara jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka itu?

Andaikan kita bermusafir seorang diri, dan kita berhadapan dengan dua buah jalan; satu jalan yang sukar mendaki bukit, dan satu lagi jalan yang mudah dan menuruni dengan tanah yang rata. Jalan pertama terdapat kesukaran, bengkang-bengkok, batu-batu yang bertaburan, duri-duri dan lubang-lubang, sukar untuk didaki dan dilalui. Tetapi di hadapannya terdapat papan tanda yang tertulis padanya: " Jalan yang tinggi dan sukar dilalui ini adalah jalan yang betul untuk menuju ke pusat bandar dan tempat tujuan. "

Jalan yang kedua pula rata, dibayangi oleh pohon-pohon yang dipenuhi dengan bunga-bunga dan buah-buahan, di kiri dan kanan terdapat kedai-kedai minuman dan tempat-tempat hiburan yang menarik hati dan menyenangkan mata dan telinga. Tetapi di hadapannya terdapat papan tanda yang tertulis padanya: " Jalan ini adalah berbahaya dan menghancurkan, di penghujung jalan ini pasti akan menyebabkan kematian dan kemusnahan. "

Jalan manakah yang akan kita pilih?

Tidak syak lagi, nafsu akan cenderung kepada yang senang dan seronok bukannya yang sukar dan menyusahkan. Nafsu lebih sukakan kebebasan dan bencikan kawalan dan belenggu. Ini adalah fitrah yang telah dijadikan Allah SWT kepadanya. Jika manusia dibiarkan mengikuti hawa nafsunya, sudah tentu dia akan melalui jalan yang kedua. Tetapi apabila akal masuk campur dan mepertimbangkan di antara keseronokan yang sebentar yang diikuti oleh kesakitan yang berpanjangan, dengan kesusahan yang sementara tetapi selepasnya keseronokan dan kenikmatan yang berkekalan, sudah tentu dia akan mengutamakan jalan yang pertama.

Inilah pebandingan di antara jalan ke Syurga dan jalan ke Neraka.

Jalan ke Neraka, terdapat padanya semua perkara yang lazat dan menyeronokkan, dan hawa nafsu cenderung dan tertarik padanya. Padanya kecantikan yang mempersonakan boleh dilihat, kelazatan nafsu syahwat boleh dikecapi, harta yang disukai boleh dikaut menggunakan semua cara. Padanya boleh lepas bebas tanpa kawalan sedangkan hawa nafsu sukakan kebebasan dan membenci kawalan.

Jalan ke Syurga pula dipenuhi dengan cabaran dan kesukaran. Padanya terdapat kawalan dan batasan, percanggahan dengan hawa nafsu, tetapi balasan kesusahan yang sebentar pada jalan ini ialah kenikmatan yang berkekalan di Akhirat. Balasan kenikmatan yang sementara pada jalan Neraka pula ialah kesakitan dan azab seksa yang berpanjangan di Akhirat. Perumpamaannya ialah seperti seorang murid pada malam perperiksaan, dia merasa tersiksa kerana tidak dapat bersantai dan bersama keluarganya yang seronok menonton tv sedang dia bersendirian dengan buku-bukunya. Namun balasannya dia akan mendapat nikmat kejayaan selepas kesusahan tersebut.

Semoga Allah SWT akan memberikan kita petunjuk jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Allah SWT berikan nikmat ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang dimurkai, dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.. Amin.

2 comments:

  1. kupasan yang sangat menarik dan menginsafkan

    ReplyDelete
  2. Terima kasih saudara awie958 :) Semoga kita semua mendapat manfaat dari membaca dan menyampaikannya kepada saudara-saudara yang lain.

    Sabda Rasulullah SAW, " Sampaikanlah olehmu dariku walaupun satu ayat. "

    ReplyDelete